0

Hargai Semasa Ada

Ceritaku mungkin sama dengan ceritamu...

Kali ini aku tidak akan bercerita tentang awekz. Aku nak stori tentang ayahku...arwah ayahku sebenarnya.

Arwah ayah seorang yang pendiam dan tak banyak bercakap, pada kami adik beradik. Tapi kalau kat luar, tengok cara dia layan anak orang lain, jeles beb. Ya, itulah arwah ayahku. Kalau kami adik beradik tanya 10 patah, 1 patah jer dia jawab. Tapi kalau orang lain, tak habis sepatah dia dah jawab 10 patah. 
Inilah kali terakhir aku bersama ayahku iaitu di LCCT semasa mereka hendak balik ke Sarawak tahun 2010.

Arwah ayah bekas kelasi kapal minyak. Aku tak tahu ler bahagian mana dia masa kat dalam kapal tu. Kalau bercerita bab kapal, toksah nak lawan lah. Memang dia menang. Paling jauh dia pernah hantar minyak ialah Singapura. Itu cerita ibu kepada kami.

Orang tua dulu-dulu kata, kelasi kapal ni banyak bini. Aku tidak menafikan fakta tersebut. Aku sebenarnya anak kepada isteri ketiga ayahku. Isteri pertama kami tak pernah kenal. Menurut ibu, perkahwinan antara arwah dengan isteri pertama tak lama kerana dia meninggal dunia. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Isteri kedua pula aku kenal. Ada ler beberapa kali aku bertemu dengannya. Hasil perkahwinan mereka dapatlah sorang anak lelaki iaitu abang tiriku. Aku kira abang tiriku ini baik dengan kami adik beradik. Dia juga selalu datang melawat kami jika ada kelapangan. Tu masa bujang, lepas kahwin jarang pulak.

Isteri ketiga ialah my mom ler. Aku ialah anak sulung dari empat orang hulubalang yang dilahirkan. Kitorang tak ada adik perempuan. Menurut cerita ibu, adik ku yang ketiga diberikan kepada kakaknya sebagai anak angkat. Semasa mengandung anak ketiga, abang ipar ibu bertanya kepada arwah ayah boleh tak dia bela anak yang bakal lahir tu nanti sebagai anak angkat. Arwah ayah tidaklah mengiya atau menidakkan permintaan itu. Cuma dia kata kalau lelaki, ambik ler. Tup tup...yang keluar lelaki. Nak tak nak terpaksalah bagi. Itulah ibu berpesan kepada kami, jangan berjanji nak bagi anak kat orang semasa isteri mengandung. Kalau lahir seperti yang dijanjikan itu, kena tunaikan. 

Isteri keempat, mualaf berketurunan Bidayuh. Yang aku tahu ialah semasa kami lahir, ayahku telah bernikah dengan ibu tiri ku ini. Mariam bt Abdullah namanya. Orangnya baik dan lemah lembut. Bagiku, dialah ibu tiri yang paling baik di dunia. Mana tidaknya, dialah orang yang bertanggungjawab mencari rezeki bersama ayah. Mereka membuka gerai menjual makanan di bandar. Ibuku pula di rumah menguruskan hal ehwal rumahtangga. Lagipun ibuku menghidapi penyakit mata rabun tahap kritikal. Doktor kata tak boleh diubati kerana urat mata ibu lemah. Segala makan pakai kami sekeluarga, ibu tiriku lah yang bagi. Nak apa jer, jumpa dia. Aku kekadang rasa sedikit menyesal juga kerana pernah membuatkan ibu tiriku menitiskan air mata. Masa tu aku budak lagi. Aku merajuk kerana permintaan ku untuk membeli baju baru tidak ditunaikan oleh ibu tiriku. Sehingga ke hari ini aku masih tidak dapat melupakan jasa-jasa ibu tiriku itu walaupun dia telah menghadap Ilahi lebih awal dari arwah ayah. 

Al-Fatihah untuk kedua mereka.

Berbalik kepada arwah ayah. Pernah suatu ketika aku merasakan yang aku tidak disayangi oleh ayah. Kalau nak mintak kat dia, jangan mimpilah nak dapat dengan mudah. Kena melalui ibu baru dapat. Itu pun setelah beberapa hari. Kalau nak mintak terus kat dia, habislah kena marah.

Arwah ayah kalau nak bagi barang atau nak ajak beli pakaian, dia cuma akan cakap sekali jer. Pantang bagi ayah kalau kita bertanya jika dia memberikan sesuatu. Alamatnya tak dapatlah kita. Kalau dia suruh mandi dan bersiap-siap ke pekan, maknanya nak ajak beli pakaian ler tu. Kalau kita buat selamba atau melengah-lengahkan, sampai ke sudah pun dia buat tak tahu. Melepas ler. 

Pun begitu, semasa aku memasuki maktab perguruan sesuatu yang menakjubkan berlaku. Arwah ayah membelikan aku sebuah mesin taip jenama Olivetti. Masa tu komputer merupakan benda mustahil untuk dibeli. Mesin taip pun jadilah. Arwah pesan jagalah ia dengan baik. Hingga sekarang mesin taip tu ada lagi aku simpan.

Namun begitu, semakin aku meningkat dewasa dan usia pun dah bertambah, aku dapat merasa bahawa arwah ayah sebenarnya amat menyayangi anak-anaknya. Setiap kali kami balik kampung, dia pasti akan sangat gembira. Dialah orang pertama yang berada di depan pintu menyambut kedatangan kami. Walaupun dia tidak menunjukkannya secara jelas tapi dari cara dia melayan cucunya, aku dapat rasakan yang dia sayangkan kami. Balik dari pekan, berjela-jela jajan dibelikannya untuk anak-anakku. Orang lain tak boleh usik, hanya untuk cucu sahaja.

Baru kini aku merasakan kehilangan arwah ayah. Kalau diikutkan, aku sebenarnya belum lagi dapat membalas jasa ayah. Kalau boleh aku ingin memutarkan kembali masa lalu agar segala jasa ayah dapat ku balas. Yang tinggal kini hanya kenangan sewaktu bersama arwah ayah. Semoga roh arwah ayahku ditempatkan di tempat orang-orang yang diredhai Allah. Amin.

2

Abang Askar, Maafkan Aku...

Ceritaku mungkin sama dengan ceritamu...

Yup... sambung cerita semalam. Awek yang sorang ni... aku pun tak tahu dari mana munculnya. Bukannya saja-saja nak suka kat dia, cuma masa tu aku perlukan teman berbual. Dia pula layan. So, kitorang pun berbual hingga aku lupa tentang kesedihan aku kerana terpaksa berpisah dengan awek pertama ku tadi.  Tapi my dad dah awal-awal sound kat I, "jangan rapat sangat dengan budak tu." So, korang tentu dapat agak apa yang berlaku selepas itu, kan?

So, tak adalah kisah cinta seperti aku dan Zarina.... oooppsss nama awek pertama ku Zarina. Dipendekkan cerita, masa berlalu. Aku dan Zarina still lagi berhubungan melalui surat. Tiap minggu pasti ada surat sampai ke rumah ku. Pada masa itu, akulah penunggu setia si posmen. Dalam pada itu, sementara menunggu keputusan STPM, aku bekerja sementara. Job pertama aku ialah melakukan wiring sistem komputer di pondok SESCO. SESCO ni kalau kat Semenanjung korang panggil TNB la.

Majikan ku berasal dari Semenanjung. Bekas askar... Askar lagi... Mungkin rezeki kot. Abang ni aku dah lupa nama dia. Orangnya lemah lembut dan aku senang bekerja dengannya. Sebenarnya dalam pekerjaan aku ni, kami berdua jer dalam satu pasukan.

Satu hari abang askar ni bawa aku ke rumah sewanya. Rumah dua tingkat dan dia sebenarnya menyewa bilik di tingkat atas rumah itu. Dia minta aku tunggu kat ruang tamu sementara dia mandi dan menunaikan solat. Keseorangan membuatkan aku menjadi begitu kreatif dan mula terkenangkan si Zarina. 

Kebetulan di rumah itu ada telefon. Aku apa lagi, aku capai telefon tu dan terus mendail nombor yang Zarina bagi dalam salah satu suratnya. Rupanya nombor itu adalah nombor telefon rumah jirannya. Lamalah juga aku menunggu makcik tu memanggil cinta hatiku tu. Mendengar suara Zarina di telefon membuatkan aku semakin rindu kepadanya. Ye la, agak lama juga semenjak mereka sekeluarga berpindah aku hanya membaca warkah darinya saja. Lebih kurang 10 minit kami berbual. Zarina memberitahu yang dia masih mengekalkan 'tag' gabungan nama kami semasa di sekolah. Bukan name tag, tandatangan daa... Nasib baiklah tak ada orang di rumah sewa tersebut pada masa itu. Hanya aku dan abang askar tu saja. Kalau tidak, tak berpeluanglah aku untuk mendengar suara Zarina yang ku rindui itu. Tu pun abang askar tak tahu yang aku telah menyalahgunakan telefon di rumah tersebut.

Selepas selesai bersolat, kami berdua pun kembali semula ke tempat kerja kami. Sepanjang hari itu aku gembira sakan. Sampai ke malam aku mengingati patah-patah perkataan yang kami bualkan. Sekarang dah tak ingat dah. Sejak hari itu, aku sentiasa berharap agar abang askar tu bawa aku lagi ke rumah sewa tersebut.

Nak dijadikan cerita, pada minggu berikutnya, abang askar bawa aku ke rumah sewanya semula. Seperti biasa dia akan tinggalkan aku di ruang tamu sambil dia mandi dan menunaikan solat terlebih dahulu. Korang pun tentu dapat agak apa yang aku akan buat, betul tak?  Tapi kali ini Zarina tak ada, makcik jiran tu panggil emaknya pula. Dengar jer suara emak Zarina, aku terus mendiamkan diri dan perlahan-lahan meletakkan telefon. Kecewanya hati aku hari itu.

Selepas selesai solat, aku tengok abang askar memegang sesuatu di tangannya. Macam bil telefon kata hatiku. Yup... memang bil telefon. Aku pun mula kecut takut rahsia ku terbongkar. Abang askar tu sambil menggarukan kepalanya yang semi botak bertanya kepadaku apa yang aku faham dengan kandungan yang tercatat dalam bil telefon tersebut. Nada suaranya yang rendah dan berbudi bahasa membuatkan aku tidaklah terlalu risau. Aku selamba kata yang aku tak tahu tentang bil telefon because kat rumah tak telefon.

Tapi abang askar tu pandai mengorek rahsia. Dia tanya aku itu ini. Dia tanya kot ler aku ni ada saudara mara yang tinggal di Kuala Lumpur. Aku cakap tak ada jer. Memang tak ada pun. Yang ada hanya Zarina jer, tu pun awek aku.

Puas dengan jawapan yang ku berikan, abang askar menyimpan semula bil tersebut dan terus mengajak aku ke tempat kerja kami. Fuhhh... lega rasanya. Tapi dalam dok sibuk bekerja ni, abang askar tak henti-henti nak perangkap aku dengan soalan-soalan risikannya... Alhamdulillah, aku dapat lepasi semua soalan tersebut dengan selamba.

Kepada abang askar, maafkan aku...

Panas Tak Sampai Tengahari Pun

Ceritaku mungkin sama dengan ceritamu...

Sibuk...sibuk...sibuk... itulah yang dapat aku katakan. Minggu yang cukup sibuk dan membosankan. Pelbagai perkara yang berlaku hanya membuatkan aku nak marah jer.

Beli ayam nak guna untuk raya haji... anak ketigaku letak kat lantai sampai ke petang.... busuk le ayam tu... Peti sejuk dah penuh katanya.... Sebenarnya leka dengan  Facebook... Grrrrrr.... aku rasa nak terajang jer budak ni.

Minyak wangi yang aku baru beli pula tinggal tak seberapa dia guna untuk sembur lebah. Kalau takat sembur tu kuranglah sikit nak marah. Ada ka patut, dibubuhnya api kat situ... Terbakarlah langsir... Nasib baik tak terbakar.... Grrrrr.... aku rasa nak bakar jer budak sekor ni.... ish... nanti kena tangkap lak...

Balik mak diorang nanti aku ni jugak yang kena menjawab...

Sambung balik posting yang lepas....

Hubungan aku dan anak ustaz berkekalan hingga kami naik kelas. Rasanya semakin kuat pula cintaku pada dia ni... Namun begitu, tiap kali bertemu mesti gaduh-gaduh manja...

Aku masih ingat suatu hari semasa ujian bulanan, aku duduk berdekatan dengan pintu semata-mata agar dapat melihat awek ku yang belajar di kelas sebelah atas bersebelahan dengan kelasku. Dapat tengok pun rasa puas semacam. Masa ujian pula, bila dah kehabisan idea untuk menjawab soalan, aku habiskan menulis surat untuk dia. Orang nampak macam aku tengah jawab soalan.... hehehehe... rupanya aku dok mengarang surat cinta untuk awek ku ini. Bagi aku pada masa itu, pedulilah apa orang nak kata.

Semasa di tingkatan 6 atas jugalah ibuku melahirkan adik bongsu kami. Aku masih ingat lagi masa adik bongsu aku berumur beberapa bulan (yang ni aku dah lupa), aku bawak awekku ke rumah. Konon-konon nak tengok adik... tapi sebenarnya nak tontonkan awek ku yang jelita kat member sekampung. Taktik kena ada beb... Si awek ni pula cukup suka kat adik bongsu aku ni. Mak aku tanya anak sapa aku bawa. Aku jawab anak ustaz. Baik-baik mak aku kata... Belajar sampai habis dulu.... adoi... macam tak setuju jer mak aku ni..

Kenangan itu menjelma kembali semasa aku berumur 42 tahun. Anak sulungku bawa balik aweknya... farain namanya. Konon-konon nak tengok my newborn baby. Eleh... trick lama... aku tau dia nak tayang awek kat budak-budak. Sejibik macam kisah aku dulu... Tapi sungguh, aku tak pernah pula storikan kat sapa-sapa cerita tu.... Macam mana dia tau teknik tu yer... Anak bapak...

Tengah seronok bercinta, tiba-tiba satu perkhabaran buruk datang. Ayah awek ku akan bertukar ke Semenanjung. Kalau tak silap aku, ke Kementah (Kementerian Pertahanan). Tapi memang tradisi pasukan renjer di tempatku hanya akan berada di sesebuah kem tentera selama tiga ke empat tahun sahaja. Mereka ni macam nomad pula.... asyik pindah sana pindah sini.

Masa tu aku rasa jantung ni dah kat luar badan jer... makan... aku makan. Tidur... aku tidur... Mandi... biasalah, kalau tak mandi... hapaklah. Kenapalah time ni pula nak pindah. Tak boleh ke stay kat sini saja. Kami melalui hari-hari terakhir kami kebanyakannya dengan bercerita bagaimana cara kami akan berhubungan nanti bila berjauhan. Aku berjanji akan score yang terbaik dalam STPM agar dapat melanjutkan pelajaran ke Semenanjung Malaysia. Awek ku berjanji akan selalu mengutus surat kepada ku. Kenapa dunia ni kejam sangat pada kami.... itu dulu.

Hidup yang dilalui sangat pantas hinggalah tiba hari di mana keluarga awek ku berangkat ke Semenanjung Malaysia. Aku ikut hantar ke Lapangan Terbang Sibu. Ingat lagi cerita aku tentang sekolah lama ku... haa... kat situ lah. Aku ni jenis yang tak reti nak menangis. Lelakilah katakan... 

Tiba saat nak berangkat, aku bersalaman dengan semua ahli keluarga awek ku ni. Last sekali dengan ayahnya. Ayah awekku sound, "awak belajar rajin-rajin. Angah (panggilan awek ku dalam keluarganya) pun nak belajar juga. Masak pun tak reti lagi. Ada jodoh nanti, kahwinlah. Pakcik tak halang." Aku hanya ya kan ajer. Tapi dalam hati.... nak ikut....

Mereka pun bergerak ke bilik menunggu. Aku tunggu kat lapangan terbang tu hingga pesawat yang mereka naiki hilang dari pandangan. Masa tu lah kelakian aku tercalit. Air mataku tak henti-henti mengalir. Malunya... Lepas tu aku balik naik bas.

Tapi aku pelik... sampai jer kat gerai ayahku... aku berkenalan dengan sorang minah. Orang kampung ayahku... Rabiatul Adawiyah namanya. Comel, cantik... Sangkut pulak tu....

Haa.... tu nanti ler aku stori kat korang...




Awek Pertamaku Anak Ustaz

Ceritaku mungkin sama dengan ceritamu...

Sewaktu aku di tingkatan 5, aku terpikat kat sorang awek ni. Tapi dia tak layan pun aku.  Anak ustaz... Tapi masa sekolah aku  ni kategori pemalu... betul... tak caya, tanya mak aku... Satu hari tu, sekolah kami mengadakan perkhemahan unit beruniform. Aku kena pergi coz member semua pegi.  Yang bestnya awek tu pegi juga. Masa tu dia dalam tingkatan tiga. Aku ni masa camping tu takde la nak ikut sangat program yang diberikan.  Untuk cukupkan korum jer. 

Tapi... ini adalah peluang untuk aku kenal lebih dekat lagi dengan awek tu tadi.  Alhamdulillah, dengan bantuan adik angkat ku, dapat gak aku bersembang dan jual minyak kat awek tu.

Oleh kerana camping tu diadakan pada minggu terakhir persekolahan, maka kami semua selepas habis camping pulanglah ke rumah masing-masing. Aku dah cukup puas hati dpt mengenali dan berbual dengan gadis idamanku tadi.

Entah macam mana suatu hari semasa cuti, adik angkatku memberitahu bahawa anak ustaz tu nak couple dengan ku.  Alamak... melompat aku kegembiraan. Masa tu takde henpon lagi. So, dok main surat jer lah. Surat punya surat, satu hari dia ajak jumpa. Korang tau, bapak dia ni ustaz tentera. Jadi, nak keluar dari kem tu banyak ler kena jawab ngan ayahnya. Ustaz pulak tu. Time jumpa aku, adik angkat aku dan adik awek ni ler yang jadi pengiring. Kalau orang tengok, macam aku ni 'beristeri tiga' pulak. Tak apalah, janji dapat jumpa awek...

Dipendekkan cerita, masuk jer tingkatan 6 aku berpindah ke sekolah lain pula. Banyaknya sekolah... Sekolah baru, jadi ler orang baru. Senior ngan junior dok jeling semacam jer kitorang. Seminggu kitorang kena orientasi. 

Selepas seminggu orientasi, bebas ler kami nak ke mana pun. Masa tu, kalau orang jeling, kira dah boleh lawan balik ler jelingan tu.

Nak dijadikan cerita, awek ku tadi pun ikut sama pindah ke sekolah baru aku tu. Pergh... pucuk dicita ulam mendatang. Hari-hari dapat jumpa...hari-hari pula merajuk... dia ler yang merajuknya, aku ni tukang pujuk jer. Pompuan ler katakan, kalau tak merajuk tak sah. Nasib badan. Selalunya kitorang balik lewat. Bukan memadu asmara, dok berbual jer. 'Bodyguard'  dua orang dok tunggu. Masa aku sekolah dulu, tak pernah aku dengar pula kes buang bayi ni. Ye lah, masa tu semua orang ikut peraturan. Kekadang benda yang sama jer dibualkan setiap hari. Kalau berbual pun kat perpustakaan ngan kantin jer. Itupun dah kira salah tau... Tapi... cinta punya pasal, layan jer la...

Aku pun nak jaga juga status dia sebagai anak seorang ustaz. Tak ada lah lebih2, just jeling2, gelak2 jer. Aku kan pemalu... nanti ler aku sambung citer lagi. Dah penat, nak gi tengok bebudak jap.
0

Dari Shah Alam Ke Genting Highlands

Ceritaku mungkin sama dengan ceritamu...

Bertemu lagi...

Posting kali ini aku nak bercerita sedikit tentang hari ini. Hari ini aku bangun awal.  Jam 9.15 pagi aku dah berada kat Shah Alam. Sepatutnya jam 9.00 pagi... tapi biasa le kan, janji apa? janji rock.  Aku nampak empat orang jer yang ada dari jumlah seramai 34 orang yang sepatutnya bersamaku.  Rupa-rupanya mereka berada di dalam bangunan.... puteri-puteri lilin.... lilin lama ler katakan, lagi ler cepat cairnya... ye tak?  

Tunggu punya tunggu bas sampai jam 10.10 pagi. Setelah semua barang disimpan dan semua peserta naik bas, maka kami pun secara rasminya bergerak ke Genting Highlands.  Ada kursus hari ini hingga Jumaat di sana.  Kursus bagi geng-geng "otai rock kapak".  Lelaki 25 orang dan yang perempuannya pula 7 orang termasuk urusetia.  Tapi ada juga yang pergi sendiri ke Genting.  So, tak ramai ler dalam bas tu.  Campur-tolak dalam 20 lebih orang jer. Bas mula bergerak pada jam 11.05 pagi.  Sebenarnya kitorang tak kenal pun ahli rombongan tu.  Kemesraan antara kami bermula di tempat berhimpun.

Sepanjang perjalanan aku banyak terlelap. Cuma bila bas berhenti di tol, aku buka mata. Melihat sekitar kot-kot ada benda berlaku....... masih panas beb, cerita tu.... Tepat jam 12.00 bas berhenti lagi.  Lain macam jer tempat ni... Eh, ni Genting Sempah! Takkan ler 55 minit jer dah sampai... heran, aku memang hairan. Turun jer lah. Kami diberi masa 30 minit untuk mengisi perut masing-masing atau buat apa-apa yang patut.  Selepas 30 minit kami bergerak ke bas semula dan 12.45 bas meneruskan perjalanannya ke Genting Highlands. Dalam masa 30 minit sampailah kami kat hotel penginapan kami. Macam tak percayalah...Aku kini di Genting Highlands buat kesekalian kalinya.

Kalau ikutkan jadual pendaftaran, kami kena mendaftar jam 2.00 petang. Tapi dok tengok orang ramai berkumpul kat kaunter, kitorang pun ikut sama. Daftar ler masa tu jugak, tapi kunci tak dapat lagi.  Budak kaunter tu kata bilik tak kemas lagi.  Nasib baiklah ada kedai mamak sebelah hotel tu. Di situlah kitorang melepak sambil bercerita. 

Kami kemudiannya dipanggil ke sebuah dewan untuk diberi taklimat.  Jam menunjukkan 2.20 petang, bilik masih belum siap lagi.  Di dewan itu, kami diberi taklimat ringkas tentang perjalanan kursus serta peraturannya sekali. Biasalah kan, geng "otai rock kapak". Silap haribulan kena kapak kau... ha... tau takut.  Kami juga diberi sebab kenapa kami berada di situ. Terasa bertuah pula aku. Setelah dipilih penghulu dan penghuli akhirnya dapatlah kuncik bilik. Satu bilik dua orang. Bilik besar juga, katil untuk tiga orang. Okaylah tu, boleh juga kami relaks. Dah masuk bilik tidurlah sementara menunggu aktiviti seterusnya jam 8 malam nanti.
0

Sekolah Baru...Semua Baru....

Ceritaku mungkin sama dengan ceritamu...


Zaman aku sekolah rendah dulu, tidak ada UPSR.  Kami kena ambik ujian Penilaian Darjah Lima.  Lebih kurang sama le dengan UPSR, Cuma ujiannya awal setahun.  Keputusan ujian tersebut akan menentukan sama ada kami dapat memasuki sekolah berasrama penuh atau tidak semasa di tingkatan satu nanti.  Kalau cemerlang, dapatlah.  Kalau lulus biasa, dapat sekolah biasalah. 

Keputusan Penilaian Darjah Lima aku tidaklah cemerlang sangat.  Tapi taklah teruk sangat.  Takat dapat cukup makan jer.  Selepas tamat sekolah rendah, aku masuk sekolah menengah.  Walaupun keputusan aku sederhana, aku ditempatkan di sebuah sekolah baru.  Yang bestnya dulu, nama sekolah ada, bangunannya pula meminjam dari sekolah lain.  Aku masih ingat, sekolah menengah aku ni meminjam bangunan sekolah rendah tidak jauh dari tempat aku tinggal. 

Untuk ke sekolah tersebut, aku kena naik bas.  Tambang, murah jer… 60 sen pegi balik.  Merasalah aku naik bas pergi ke sekolah.  Semasa di sekolah rendah, aku jalan kaki jer.  Maklumlah rumah dekat dengan sekolah.  Tapi… yang sedihnya, ayahku (arwah) hanya bagi RM1 jer untuk belanja.  Terpaksalah aku gunakan duit yang ada tu untuk tambang bas dan belanja sekolah.  Aku faham, ayahku bukanlah orang senang.  Namun dalam hati tu kadang memberontak juga. 

Aku masih ingat semasa di sekolah menengah, kami diperkenalkan dengan pelbagai jenis sukan yang lebih update.  Kalau kat sekolah rendah, cuma belajar basic saja.  Sukan pertama yang aku pelajari adalah hoki.  Nama cikgu aku dah lupa.  Semasa matapelajaran Pendidikan Jasmani, cikgu suruh kami berkumpul di padang.  “Ambik kayu hoki sorang satu,” katanya.  Kami pun ambik dan beratur di padang semula.  Cikgu tu pula balik semula ke bilik guru.  Ye la, macam “remote control”.  Kitorang dok pukul kayu hoki kat padang, cikgu pula dok kat bilik guru.

Kami pun mainlah hoki sepuasnya sehingga satu ketika bola hoki datang kepada ku.  Bebudak tau le kan, bolanya satu tapi yang kejar 30 orang.  Aku duduk kat pertahanan.  Oleh kerana nak mengelakkan gol, aku hayun kayu hoki ku sekuat-kuatnya.  Hayun punya hayun, bola tak kena tapi kayu terhayun ke udara.  Hampir-hampir terkena kengkawan yang dok seronok mengejar bola itu.  Aku gelabah giler kalau korang nak tau.  Menggigil aku ketakutan.  Kalaulah terkena budak tu, aku rasa boleh padam dia ni.  Akhirnya aku berhenti bermain dan sejak hari itu aku tidak berani bermain hoki lagi.
0

Zaman Kanak-Kanak

Ceritaku mungkin sama dengan ceritamu...

Yup... kita bertemu lagi.  Ini posting kedua ku.  Aku cuba untuk mengingati zaman kanak-kanak ku.  Adohai... nampaknya tidak banyak yang aku ingat tentang zaman indah itu.  Namun, ada le sikit yang dapat ku ceritakan di sini.  

Aku mula memasuki alam persekolahan pada tahun 1975.  Aku masih ingat lagi pada hari pertama di sekolah aku telah 'berkenalan' dengan seorang murid lelaki bernama Affendi bin Ali.  Perkenalan yang aku maksudkan tidaklah begitu indah.  Setelah selesai urusan pembayaran yuran, aku ditinggalkan bersama murid-murid  lain di kelas baru ku.  Entah... aku dah lupa nama kelas pertama aku itu. Aku ni seorang yang sensitif.  Affendi ni pula seorang yang suka bergurau.  Walaupun baru beberapa minit kenal, dah mengusik aku.  Aku pun apa lagi...terkam le... Kelam kabut pagi tu...  Tapi lepas tu, jadi kawan karib pulak.  Beberapa orang lagi yang aku masih ingat nama mereka ialah Zubaidi, Madihi, Ratna dan yang lain-lain aku dah lupa.

Pada tanggal 30 Ogos 1975, adalah hari yang bersejarah bagi negeri Sarawak.  Pada hari itu, RTM telah memancarkan siaran televisyen pertama di sini.  Semua orang teruja termasuk aku.  Teringin nak balik cepat.  Tapi tak guna jugak... Ayahku tidak berminat nak beli peti televisyen.  Membazir katanya.  Jadi, aku dan adik ku (masa tu kami berdua jer) tumpang menonton di rumah jiran.  Bestnya... maklumlah first time tengok.  Jiran aku pula jenis tak kisah.  Pantang ada masa terluang, kami akan ke rumahnya.  Bukan jauh pun, kat tingkat atas jer.  So, parents aku pun tak risau sangat.

Semasa di darjah 4,  kami menerima dua orang murid baru.  Seorang lelaki dan seorang perempuan.  Yang lelaki tu bernama Alwi dan yang perempuan bernama Dewi.  Cantik giler si Dewi ni.  Jadi pujaan le dia ni di sekolah masa tu.  Ayahnya bertugas sebagai seorang pegawai polis.  Mak ai, aku pun berangan jugak nak couple dengan dia ni... Tapi... budak Dewi ni tak layan.  Pegi daa.... macam nada kecewa jer...

Si Alwi pula saudara sebelah ayahku.  Datang dari kampung.  Tapi...sombong nak mampus.  Aku bengang juga dengan dia ni.  Suatu hari aku ajak dia bergaduh.  Dia pun setuju.  Korang nak tau, masa kitorang bebudak dulu, asal gaduh jer mesti pergi ke padang.  Mana-mana padang pun jadi.  Aku datang dengan penyokong ku si Affendi, Madihi dan Zubaidi.  Alwi pula datang sorang-sorang.  Berani jugak budak ni.  Kalau nak ikutkan, memang patut dia berani.  Dia lebih besar dan tinggi dari aku.  Ye la... dia kan budak baru.  Mana ada kawan lagi.  

Jam 5 petang kitorang pun sampai di padang.  Bukan padang betul, tapi tapak nak buat masjid baru kat tempat aku.  Hissh... bebudak... mana le nak pikirkan sangat semua tu.  Affendi jadi pengadil.  Ni nak lawan bertumbuk ni.  Bukan lawan main batu seremban.  Sapa kena dulu, dia menang.  Alwi kata ok, aku pun ye.  Ha... mula... mak datuk... terkejut beruk aku.  Budak kampung ni bukak langkah silat.  Biar betul!  Aku mula cuak.  Tapi pasal nak tunjuk kat kengkawan, aku masuk jugak.  Gedebak gedebuk "pom" kena kat mata aku sebiji.  Bukan sebiji... tiga empat biji.... Penyokong aku tadi rupanya dah bersepah melarikan diri bila si Alwi ni buka langkah silat.  Sialan.... Korang nak tau tak?  Sakitnya aku, aku je yang tau.  Kan aku yang kena, bukan korang.  

Lepas dia sedar dari isimnya, Alwi datang kepadaku.  Aku cakap, "cukup la, aku dah tak tahan."   Alwi hulurkan tangan nak bersalam dengan ku.  Aku pun sambut.  Dia kata, "kita ni saudara, buat apa nak gaduh?"  Dia minta maaf pasal bukan niat dia nak bagi aku berbiji-biji tu.  Sempat pula dia tanya, "sakit tak?" .... Lagi mau tanya.  Lepas tu kitorang balik ke rumah masing-masing.  Nasib ayahku tak sampai lagi.  Banyak kerja agaknya.  

Beberapa hari selepas kejadian itu, ayahku balik awal.  Semasa aku sampai di muka pintu, aku tengok ayahku sedang memegang rotan di tangannya.  Aik... ada masalah ke ni.  Tak menyempat-nyempat aku nak tukar baju.... "zap".... kena punggung aku... "Kau bergaduh ye....kau tau tak yang budak tu saudara kita....." ntah macam-macam lagi ayahku membebel sambil tangannya.... korang pikir la sendiri.  Aku merayu meminta maaf... Nasib baik, marah ayah tak lama.  Aku pula teresak-esak di dalam bilik sambil menahan rasa sakit.  Tak berani pulak aku nak keluar.  Takut angin ayahku naik lagi.  Emak pula hanya diamkan diri jer... 

Selepas kejadian itu, aku meminta maaf kepada Alwi.  Kami jadi kawan baik.  Ke mana saja pergi mesti berkepit.  Sekarang kami jadi berlima.  Kalau time ni dah boleh buat team Power Ranger dah. 
Okay lah... setakat ni jer storimori ku untuk kali ini.  Insya-Allah aku akan ceritakan lagi Tu baru zaman kanak-kanak aku... bye...
0

Yazza.....

Berjaya juga aku namakan blog ni. Bubuh tu tak boleh, letak tu tak lekat.... Semua google dok kata "cannot".  Ini adalah blog kedua ku.  Akhirnya "storijerlah" juga yang jadi.  Tak per lah, redakan jer.  Design pun tak berapa nak comel lagi. Ikut design default jer dulu.  Dari dulu lagi aku selalu mencari tempat untuk berkongsi cerita, meluahkan perasaan... well, platformnya baru sekarang aku jumpa - iaitu melalui blog. 

Blog ni aku cipta khas untuk aku "story" kan kisah hidup aku.  Bukan nak bangga, hanya untuk berkongsi pengalaman.  Lagipun takde apa yang nak dibanggakan dengan kehidupan aku  ni dari dulu hingga sekarang.  Blog ni aku khususkan untuk cerita saja dan gambar yang berkaitan dengan hidupku (jika ada).  Mungkin pengalaman ku, sama dengan pengalaman orang yang membacanya.  Kalau tak sama pun, sipi-sipi tu ada le jugak, kan kan kan. 

Baiklah, aku ni keja gomen. Gaji besar... gaji kasar jer. Gaji bersih... huh...ciput.  Semuanya akibat kelemahan dan kelalaian aku sendiri.  Ye lah, takkan nak salahkan orang lain pulak.  Isteri baru sorang... anak baruuuu sorang "Girl".  Tujuh kali mencuba dan terus mencuba, akhirnya yang ketujuh tu le intan payung aku.  Mungkin dah ditakdirkan begitu, kot. Nanti le kita story tentang family aku.  Aku pun dah ngantuk ni. Esok-esok kita sambung, k.
Back to Top